JIKA sebelum ini drama bersiri terbitan Disney+ dan Marvel Studios WandaVision berjaya menarik perhatian pengikut filem dan komik Marvel, kini tiba pula giliran Loki untuk membuat kemunculan.
Perkara itu disahkan kedua-dua syarikat penerbitan itu menerusi pelancaran trailer siri itu, yang dijangka akan menemui peminat pada 11 Jun depan.
Difahamkan, siri kali ini memaparkan God of Mischief itu keluar daripada bayang abangnya (Thor).
Dengan latar waktu selepas peristiwa selepas peristiwa Avengers: Endgame, trailer ini menunjukkan bagaimana Loki memasuki ke suatu dimensi masa yang lain susulan rentas masa yang dilakukan pasukan Avengers, ketika pasukan adiwira itu gagal mendapatkan Tesseract di New York pada tahun 2012.
Jika diimbas dalam filem Avengers: Endgame, Tesseract telah dicuri ketika pergelutan untuk merebut kiub yang mengandungi space stone itu.
Tom Hiddleston kembali memegang watak Loki dan dalam siri ini dia ditemani barisan pelakon seperti Owen Wilson, Gugu Mbatha-Raw, Sophia Di Martino, Wunmi Mosaku dan Richard E. Grant.
Siri ini diarah oleh Pengarah, Kate Herron dengan Michael Waldron selaku Ketua Penulis Cerita.
Sumber: Astro AWANI