fbpx

Berilah rakyat duit belanja RM1,500 sebulan – Anwar

PETALING JAYA:  Kerajaan dicadangkan memberi `wang  belanja’ atau cash in hand  RM1,500 sebulan secara konsisten kepada golongan B40 dan M40 yang kini sedang lalui kesengsaraan akibat  pandemik Covid-19 berpanjangan.

Cadangan itu dilontar Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas berpendapat,  pengumuman Perdana Menteri pada Isnin lalu yang membenarkan rakyat mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi  i-Citra tidak membantu kedua-dua kumpulan tersebut  yang didefinisikan sebagai  kumpulan B60.

Menurut ketua pembangkang itu, ini kerana simpanan pencen golongan  B40 dan M40 semakin kurang malah 9.3 juta pencarum memiliki kurang RM10,000 baki dalam akaun satu dan dua KWSP masing-masing.

“Didapati  9.3 juta daripada 15 juta pencarum atau dua per tiga daripada jumlah pencarum memiliki kurang RM10,000 baki dalam KWSP tetapi  jumlah tabungan KWSP secara keseluruhan pada ketika ini hampir RM1 trilion.

“Ini bermakna hampir RM900 billion dalam tabung adalah dimiliki oleh 1/3 pencarum. Ini bererti  ada 9.3 pencarum lagi sudah tiada wang lagi yang boleh mereka keluarkan. 

“Ini juga bermakna i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra yang dicanangkan  tiada kesan kepada golongan B60. Yang jelas, wang simpanan golongan B60 sudah pun meleset,” kata Anwar menerusi sidang akhbar menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kajian juga mendapati hampir lima juta isi rumah yang membabitkan 15 juta orang sedang menanggung kesan berat daripada keadaan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang belum pulih.

“Ini adalah satu angka besar, iaitu lebih daripada 50 peratus rakyat dengan 85 peratus daripada mereka adalah orang Melayu dan bumiputera yang menerima bahana sengsara ekonomi dahsyat,” katanya.

Kata beliau lagi, permasalahan rakyat perlu diselesaikan dengan segera dan memerlukan langkah yang tegas dan tindakan ekonomi yang berani.

“Langkah pertama ialah  menghentikan ketirisan dan kesenjangan. Ini adalah kerana sekiranya bantuan kewangan dalam bentuk tunai akan tiris kerana akan membayar hutang seperti hutang rumah dan kenderaan.

“Tanpa “percutian hutang” yang panjang, ketirisan ini akan berterusan dan semakin parah. 

“Seterusnya, bantuan kewangan yang hanya dalam bentuk gimik tidak akan mempunyai kesan  segera. Yang diperlukan sekarang ialah cash in hand yang konsisten dan mapan. Jumlah yang wajar adalah RM1,500 sebulan untuk golongan B60.” kata beliau.

SUMBER: UTUSAN 

GAMBAR: ProjekKMM

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews