fbpx

Deen pula berundur dari Hot FM

KUALA LUMPUR: Selepas pengunduran dua penyampai radio Hot FM, Fizie dan Mark Adam, Deen pula meninggalkan stesen radio itu seperti dikongsinya dalam entri media sosial.

Deen atau nama sebenar, Nordin Madian yang sudah 10 tahun berkhidmat dengan Hot FM, menerima keputusan itu dengan lapang dada.

“Saya terima notis tujuh hari penamatan khidmat di Hot FM bertarikh 16 Julai lalu. Hari ini, detik terakhir saya berkhidmat sebagai penyampai radio di stesen ini.

“Saya terima keputusan ini dengan profesional dan berterima kasih kepada pasukan kerja Hot FM, wartawan, rakan seperjuangan dan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya selama ini.

“Karier dengan stesen ini bermula sejak 15 Oktober 2010 sebagai kakitangan kontrak. Bermula 1 November 2017, saya bertugas sebagai pembekal khidmat atau ‘service provider’.

“Saya amat bersyukur dikurniakan rezeki di Hot FM sejak 10 tahun lalu. Kini, sudah tiba masanya stesen radio ini membuat pertukaran barisan penyampai radio bagi mengukuhkan pelbagai aspek termasuk selera pendengar, permintaan pasaran, pelan niaga dan strategi kandungan,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Deen mahu mendaftar semula program pengajian peringkat sarjana dalam bidang pengurusan komunikasi di sebuah universiti yang tertangguh selama ini.

“Jika diikutkan, sejak tahun lalu hendak sambung balik belajar tapi bertembung dengan jadual kerja.

“Insya-Allah, Oktober depan pendaftaran masuk semester baharu bermula… Doakan saya,” katanya.

Ditanya apakah merancang mencuba nasib di stesen radio lain, Deen mengakui ingin mencuri peluang jika ada.

“Sejujurnya, minat dalam bidang radio masih ada. Kalau ada peluang lagi untuk bekerja sebagai penyampai radio atau jawatan lain, saya akan menimbangkannya.

“Malah, saya juga tak kisah mencuba nasib dalam skop kerja lain. Cinta saya dalam dunia penyiaran masih menebal,” katanya.




Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts