fbpx

Langgar SOP Aidiladha, 25 warga Bangladesh didenda RM5,000

SEBAHAGIAN daripada 25 warga Bangladesh yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas kesalahan melanggar SOP PKP ketika sambutan Aidiladha Selasa lalu. - UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN

Georgetown: Seramai 25 warga Bangladesh didenda sebanyak RM5,000 seorang selepas didapati bersalah melanggar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berhimpun beramai-ramai pada Aidiladha Selasa lalu.

Hukuman berjumlah RM125,000 itu diputuskan Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas kesemuanya mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

Mengikut pertuduhan, mereka yang berusia antara 23 hingga 41 tahun itu didakwa berhimpun bersama orang lain bagi maksud sosial di dalam sebuah rumah di Taman Desa Mutiara di Batu Maung pada jam 9 malam, Selasa lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) P.U (A) 293/2021.

SEBAHAGIAN daripada 25 warga Bangladesh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown atas kesalahan melanggar SOP PKP ketika sambutan Aidiladha.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Norsalha kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 kepada setiap tertuduh dan penjara selama dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda itu.

Dalam pada itu, mahkamah turut diberitahu bahawa kesemua tertuduh bekerja sebagai buruh binaan di bawah satu syarikat namun hanya 21 daripada mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid manakala 21 tertuduh diwakili peguam menerusi majikan mereka, Muhammad Arif Shaharuddin.

Difahamkan, mereka ditahan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Batu Maung hasil aduan orang awam yang mendakwa sekumpulan warga asing sedang mengadakan jamuan dipercayai bagi meraikan sambutan Aidiladha.




Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts