fbpx

COVID-19: Siti Sarah dirawat di ICU, Shuib mohon doa peminat

KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin dilaporkan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), di sini hari ini.

Berita itu dimaklumkan suaminya, pelawak Shuib Sepahtu menerusi kemas kini di laman Instagram, pagi tadi.

Katanya yang juga seorang usahawan, isterinya dimasukkan ke ICU selepas tahap oksigen semakin tidak stabil, dipercayai akibat jangkitan COVID-19.

“Assalamualaikum salam Jumaat semua. Pagi tadi isteri saya telah dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tidak berapa stabil dan keadaan dia yang tidak berapa baik,” demikian tulisnya sambil memuat naik gambar Siti Sarah ketika berada di tanah suci Mekah.

Astro AWANI semalam melaporkan, pelantun lagu ‘Kesetiaan’ yang sedang sarat mengandung itu dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami masalah tahap oksigen menurun, pada petang Rabu.

Sarah dan Shuib sekeluarga positif COVID-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka dijangkiti wabak tersebut.

Dalam pada itu, Shuib, 36 tahun, turut memohon agar peminat dan orang ramai mendoakan kesembuhan buat isteri tercintanya.

“Saya mohon di hari baik, hari Jumaat doakan Sarah dan anak dalam kandungan. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah memberi kekuatan untuk mereka. Semoga Allah merahmati kita semua,” tulis Shuib lagi.

Semakan mendapati rata-rata warganet menzahirkan kata-kata semangat dan mendoakan kesembuhan Siti Sarah yang kini mengandung tujuh bulan.

Sementara itu, pengurus penyanyi itu, Nana Mohd Rom memaklumkan kepada Astro AWANI, Siti Sarah masih menerima rawatan lanjut di ICU selepas dimasukkan ke unit tersebut sekitar pukul 1 pagi tadi.

Bagaimanapun, perkembangan lanjut mengenai tahap kesihatan Siti Sarah masih belum dapat dikongsikan setakat ini.

Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011, dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun.







Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts