fbpx

Bersama pulihkan negara, tingkatkan kualiti hidup wanita dan masyarakat – Tunku Azizah

Berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 pada Rabu, Seri Paduka bertitah agar kualiti hidup kaum wanita, keluarga serta masyarakat sekeliling ditingkatkan - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menitahkan agar semua pihak bersama-sama mencari jalan memulihkan negara akibat kesulitan COVID-19.

Berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 pada Rabu, Seri Paduka turut bertitah agar kualiti hidup kaum wanita, keluarga serta masyarakat sekeliling terus dipertingkatkan.

“Saya berharap masalah dari segi menjana pendapatan, menjamin kesihatan fizikal dan mental, menjaga keselamatan dan mengukuhkan perpaduan dapat diberi perhatian.

“Marilah mencari jalan yang terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk meningkatkan mutu kehidupan,” titah Seri Paduka, hari ini.

Seri Paduka bertitah demikian pada majlis anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), secara dalam talian, pada Rabu.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu, Seri Paduka bertitah ramai wanita dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah bersama-sama memberi sumbangan dalam membanteras pandemik COVID-19.

Bantuan disalurkan dalam pelbagai bentuk termasuk khidmat kaunseling dan golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak, titah Tunku Azizah lagi.

Sehubungan itu, Tunku Azizah menzahirkan penghargaan kepada NGO dan barisan petugas hadapanwanita yang bertungkus lumus membantu kerajaan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengenang jasa pekerja wanita khususnya yang berada barisan hadapan terutama para jururawat, doktor, polis dan lain-lain, yang telah menjadi benteng negara dalam memutuskan rangkaian wabak ini dengan penuh ikhlas, amanah, kesungguhan dan semangat juang,” titah Seri Paduka lagi.







Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts