fbpx

PM tiba di Istana Abdulaziz, dijangka persembah senarai Kabinet

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Abdulaziz, sebentar tadi dijangka bagi persembahkan senarai nama Jemaah Menteri. - Foto fail/Google

KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dipercayai bagi mempersembahkan cadangan senarai Kabinet kepada Seri Paduka di Istana Abdulaziz, di sini.

Kenderaan membawa Ismail Sabri tiba di Istana Abdulaziz, sebentar tadi dengan diiringi tiga kenderaan lain dan kawalan polis trafik.

Ismail Sabri sempat membuka tingkap kereta dan melambai kepada petugas media.

Petugas media dan polis mula berkumpul di pintu utama istana di sini seawal jam 9 pagi tadi.

Perdana Menteri dipercayai mempersembahkan cadangan senarai itu untuk mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah sebelum diumumkan, yang dijangka pada petang ini.

Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, Jumaat lalu, tumpuan terarah kepada mereka yang bakal menyertai barisan Kabinet dalam pentadbiran Ismail Sabri.

Pemerhati politik berpendapat, Ismail Sabri dijangka tidak mengambil masa yang lama untuk mengumumkan senarai nama barisan Kabinetnya disebabkan negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Beliau memerlukan pasukan yang mantap kerana di bahu mereka tergalas tanggungjawab besar untuk membawa keluar negara daripada pandemik, menangani masalah ekonomi serta kesejahteraan rakyat yang terjejas.

Pengumuman itu sekali gus akan dapat menamatkan spekulasi mengenai senarai jemaah menteri baharu, memandangkan sebelum ini terdapat beberapa senarai tular di media sosial, namun dinafikan oleh Ismail Sabri yang meminta masyarakat menunggu senarai rasmi daripada beliau.

Desas-desus kehadiran Perdana Menteri ke Pahang mula tersebar sejak semalam, menyebabkan perkarangan Istana Abdulaziz mula dikunjungi pengamal media sejak pagi tadi.

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts