fbpx

Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 catat jualan RM3.3bilion

PUTRAJAYA: Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun lalu mencatatkan peningkatan jualan ketara sebanyak RM3.3 bilion dengan jumlah unit simpanan stok (SKU) mencecah 326,000.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata peningkatan itu turut dilihat menerusi portal dalam talian ‘marketplace’ berbanding tahun sebelum ini dengan nilai jualan melebihi RM145 juta.

Katanya, peningkatan itu dapat dilihat kerana ramai rakyat berbelanja secara dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada 2019, KBBM mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.87 bilion membabitkan 279,000 SKU bagi sektor peruncitan dan bagi nilai jualan dalam talian pula adalah RM6.84 juta.

“Berdasarkan pencapaian pada tahun sebelumnya, saya amat berharap kerjasama sedia ada dan baharu antara KPDNHEP dan rakan kerjasama strategik dalam pelaksanaan KBBM ini dapat diteruskan bagi memastikan usaha pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan secara bersama.

“Kerjasama strategik ini amat penting untuk memulihkan semula sektor peruncitan dan seterusnya mencapai pertumbuhan yang mampan,” katanya ketika melancarkan KBBM 2021 secara maya, hari ini.

Hasnol berkata, selain menyemai semangat patriotisme dalam kempen berkenaan, KBBM juga adalah satu platform untuk penjenamaan bagi mempertingkatkan kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk tempatan.

“Melalui kempen ini juga dapat mempamerkan kepelbagaian atau ‘versatility’ barangan tempatan serta membantu memasarkan produk dan perkhidmatan tempatan. Ia juga mampu memberikan dorongan kepada pengusaha tempatan,” katanya.

Tambahnya, KBBM saban tahun semakin berkembang dengan pembabitan rakan kerjasama strategik bagi sektor peruncitan.

Bagi tahun ini antara rakan strategik baharu ialah AEON Big, AEON Co, Giant, Mydin, 99 Speedmart, The Store, Hero Supermarket, KK Supermart, Eco-Shop, Lotus Store, Econsave, Lulu Group, TF Value-Mart, Bataras, Petronas dan Shell.

“KBBM tidak lengkap jika hanya tertumpu kepada premis peruncitan fizikal, rakan strategik dari platform dalam talian talian atau ‘marketplace’ memainkan peranan yang sama penting.

“Shopee, LAZADA dan PGMALL turut bersemangat bekerjasama dengan KBBM tahun ini selari dengan perkembangan dan keadaan semasa berikutan pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia. Kita menyaksikan urusan jual beli kini tertumpu ke arah pendigitalan,” katanya.

Sementara itu, dalam meningkatkan pembelian dalam kalangan pengguna, KPDNHEP menyasarkan supaya manfaat KBBM dinikmati secara terus oleh pengguna melalui penawaran harga istimewa untuk barangan keluaran tempatan.

“KPDNHEP sedar bahawa ramai pengguna terkesan dengan pandemik yang berlaku yang mana kuasa membeli pengguna juga menurun. Selain itu, kempen ini menjadi serampang dua mata dalam membantu meningkatkan jualan produk pengusaha tempatan sekali gus mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts