fbpx

Pertemuan empat menteri bersama MKN bincang longgar SOP menjelang fasa endemik

KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media pada hari pertama memulakan tugas sebagai menteri kementerian itu di Wisma Pertahanan hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti beberapa kelonggaran termasuk kebenaran rentas negeri dan membuka lebih banyak sektor bagi membolehkan rakyat lebih bebas dalam norma baharu ketika negara menuju ke fasa endemik COVID-19, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan itu memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama tiga menteri Kabinet bagi membincangkan langkah penyesuaian dalam masa terdekat.

“Saya sedang usahakan bersama MKN dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusi Perdana Menteri.

“Saya turut akan libatkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa untuk membuat keputusan bersama,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun, Hishammuddin memberitahu, kerajaan tetap menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan rakyat di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat ketika kelonggaran baharu dilaksanakan kelak.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, fasa endemik di Malaysia dijangka bermula pada akhir Oktober ini, dengan kadar imuniti kelompok diharap mencapai 80 peratus.

Setakat Ahad, negara menyaksikan 68 peratus daripada populasi dewasa selesai melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.






Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts