fbpx

Johor umum pembentukan Jawatankuasa Khas disertai pembangkang

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad. Foto: BERNAMA

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Khas dianggotai pembangkang bagi membincangkan dasar sosial dan ekonomi negeri pasca COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata pembentukan jawatankuasa khas itu selari dengan komitmen kerajaan negeri untuk sentiasa mendengar pandangan wakil rakyat termasuk 27 wakil pembangkang.

Beliau berkata, wakil pembangkang juga akan dibabitkan menerusi sesi taklimat dan perbincangan yang akan dilakukan pada masa akan datang termasuk gerak kerja untuk merangka Belanjawan Johor 2022.

Katanya, kerajaan negeri juga telah menganjurkan beberapa sesi taklimat bersama wakil rakyat di Johor termasuk pembangkang sebelum ini, bagi berkongsi maklumat pentadbiran di luar takwim persidangan Dewan Negeri.

“Oleh itu, saya ingin mengumumkan pembentukan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh Ketua Pembangkang, wakil pembangkang, Timbalan Setiausaha Kerajaan dan Ketua-Ketua Jabatan Agensi Persekutuan dan Negeri yang berkaitan.

“Kerajaan negeri juga bersedia untuk secara perlahan-lahan melaksanakan reformasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengikut kesesuaian dan keperluan, sepertiyang dibincangkan bagi menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas di peringkat DUN pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berharap kerajaan Johor dibabitkan secara langsung dalam inisiatif pembukaan laluan darat yang membabitkan Tambak Johor dan Laluan Kedua (Second Link).

Katanya, kerajaan negeri sedar bahawa membuka sempadan Johor-Singapura adalah komponen asas dalam usaha pemulihan ekonomi negeri.

“Ia akan merancakkan kembali sektor peruncitan dan sektor pelancongan, selain bakal menghidupkan semula aktiviti ekonomi di bandaraya Johor Bahru dan daerah berdekatan.

“Pembukaan sempadan Johor-Singapura juga bakal mengembalikan kepesatan sektor hartanah, yang semestinya lebih rancak apabila khususnya apabila Kerajaan Persekutuan bakal melihat semula dasar berkaitan program Malaysia My Second Home (MM2H),” katanya.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews