fbpx

Kelonggaran tambahan aktiviti sosial, ekonomi tidak lama lagi

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengumumkan beberapa kelonggaran tambahan baharu di bawah fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi sektor sosial dan ekonomi dalam masa terdekat. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan kelonggaran tambahan termasuk aktiviti pelancongan selain daripada destinasi yang termasuk dalam inisiatif gelembung pelancongan. 

Menurutnya, pertimbangan itu termasuk menambah destinasi di bawah inisiatif gelembung pelancongan untuk destinasi bukan pulau dan pembukaan semula gimnasium. 

“Dalam menetapkan kelonggaran ini, kerajaan amat memahami tekanan, kepenatan dan kelesuan rakyat selepas lebih setahun berada dalam situasi pandemik yang membataskan aktiviti dan pergerakan. 

“Namun, sebelum kelonggaran-kelonggaran berkenaan diumumkan, Kementerian Kesihatan akan terlebih dahulu melakukan penilaian tahap risiko jangkitan Covid-19 dengan mengguna pakai 3C atau 3S. 

“Sekiranya memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan, kerajaan bersedia membenarkan pelaksanaannya. Perincian mengenai akan dibincang dalam mesyuarat kuartet menteri akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dengan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, pada 2 September lalu. 

Beliau berkata, 3C atau 3S merujuk kepada penetapan prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan tahap jangkitan Covid-19 bagi mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan. 

SOP itu termasuk Crowded Places (Sesak) iaitu penjarakan berjauhan dalam masa yang singkat adalah lebih selamat; Confined Spaces (Sempit) kawasan lapang di luar adalah lebih selamat dan Close Conversation (Sembang Dekat) iaitu penjarakan berjauhan, pemakaian pelitup muka, interaksi singkat adalah lebih selamat. 

Dalam pada itu, katanya, beliau bersama tiga menteri berkenaan akan memperhalusi usaha ke arah memperkemas SOP-SOP sedia ada supaya lebih difahami rakyat, pemain industri dan pihak yang menjalankan penguatkuasaan. 

Setakat ini, kata Hishammuddin, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa dalam PPN dan menerusi usaha kemas semula itu, bertujuan mengurangkannya kepada 10 SOP sahaja. 

“Kerajaan tidak hanya mengambil kira data-data sains daripada Kementerian Kesihatan, tetapi juga maklum balas serta pandangan daripada pakar-pakar dan golongan industri. 

“Langkah memperkemas SOP-SOP yang telah diguna pakai selama lebih setahun ini tentunya akan mengambil sedikit masa namun kerajaan komited untuk menyelesaikannya sebelum peralihan ke fasa endemik nanti,” katanya.





Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts