fbpx

Harga purata nasional ayam turun kepada RM8.77 sekilogram

AZMAN ADAM (kiri) membuat pemeriksaan bekalan dan harga ayam standard serta telur ayam di Pasar Besar Sena, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI

KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan purata harga ayam nasional turun kepada RM8.77 sekilogram sehingga semalam.

Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, harga tersebut menunjukkan penurunan yang ketara berbanding RM11 sekilogram kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, penurunan harga itu didorong oleh libat urus yang dilakukan KPDNHEP secara terus dengan peniaga, pemborong dan penternak di lokaliti yang mengalami kenaikan harga.

“Kami minta mereka semak semula margin keuntungan masing-masing supaya mereka boleh mendapatkan keuntungan dan dalam masa yang sama dapat menawarkan harga yang munasabah kepada pengguna.

“Saya gembira apabila mendapati semalam tidak ada langsung aduan harga ayam mahal di seluruh negara. Ini menunjukkan penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara membawa kepada pergerakan harga ayam yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pemeriksaan bekalan dan harga ayam standard dan telur ayam di Pasar Besar Sena, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut memuji berkaitan harga ayam di Perlis yang mana purata harganya kini adalah RM8.33, lebih rendah daripada purata harga nasional.

“Jadi, ini adalah berita baik kepada pengguna di Perlis kerana mereka boleh mendapatkan bekalan ayam dengan harga yang lebih istimewa berbanding tempat-tempat lain.

“Ini adalah berkat dan hasil kerjasama semua pihak termasuk pembekal dan peruncit di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, peniaga ayam di pasar tersebut, Amran Shaari, 38, berkata, harga ayam mula naik selepas perubahan fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi.

“Ketika ini, harga sudah mulai turun. Dalam dua tiga minggu lepas harga ayam yang dijual boleh mencapai sehingga RM8.80 sekilogram berbanding kini saya jual RM8.50 sekilogram sahaja,” ujarnya.







Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts