KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual mengenai vaksin dan virus COVID-19, pada April dan Mei lepas.
Lokman, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lokman didakwa menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis yang dikaitkan dengan vaksin.
Penyebaran itu melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei dan 10.38 malam, 9 April lepas.
Dua rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang, 9 Mei dan 8.55 malam, 11 April.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport OKS diserahkan kepada mahkamah.
“Pihak kami memohon untuk penyerahan pasport OKS kerana kawasan Lembah Klang akan memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kemungkinan sempadan negara akan dibuka tidak lama lagi,” katanya.
Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon jaminan rendah serta pasport anak guamnya tidak ditahan atas alasan sempadan negara masih belum dibuka.
“Anak guam saya kini tidak bekerja dan membantu isterinya menjual sate selain masih menanggung 11 orang anak mereka,” kata Logen.
Mahkamah membenarkan Lokman diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Nov depan untuk sebutan semula kes.– BERNAMA
Sumber: Astro AWANI