fbpx

PERKESO bekal kit ujian kendiri COVID-19

PERKESO akan membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 menerusi Program Ujian Saringan COVID-19 Fasa Pemulihan kepada majikan.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 menerusi Program Ujian Saringan COVID-19 Fasa Pemulihan kepada majikan yang melaksanakan ujian saringan itu kepada pekerja mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata penyediaan kit itu bertujuan membantu majikan melaksanakan ujian saringan COVID-19 dengan lebih mudah dan pantas.

Katanya, majikan boleh memilih jenis kit ujian yang ingin dilaksanakan sama ada ujian kit saringan pantas (RTK) antigen yang boleh dilakukan secara profesional oleh klinik atau kit ujian kendiri COVID-19 yang boleh dilakukan sendiri oleh pekerja.

“Kit ujian itu akan dibekalkan kepada majikan berdasarkan bilangan pekerja yang aktif mencarum dengan PERKESO.

“Kementerian berharap pelaksanaan program ini akan mengurangkan bebanan dan memberikan kemudahan kepada majikan untuk mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja, sekali gus membantu kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Saravanan berkata, sebelum ini, bermula 6 September lalu, PERKESO membekalkan ujian RTK antigen kepada majikan yang menjalankan proses saringan COVID-19 pekerja mereka.

Bagaimanapun, katanya, menerusi program itu, majikan menyelaraskan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bersama klinik pilihan mereka, selain perlu menanggung kos perkhidmatan bagi ujian saringan terbabit.

Katanya, PERKESO menerima 230,000 permohonan daripada majikan bagi mendapatkan kit ujian menerusi program itu.

Untuk maklumat serta proses permohonan Program Ujian Saringan COVID-19 Fasa Pemulihan, boleh layari laman web rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my dan Portal Program Saringan Prihatin di psp.perkeso.gov.my.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Careline PERKESO di talian 1300-22-8000 atau Hotline HSP dan PSP di 03-4264 5089 atau e-mel [email protected].





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts