LANGKAWI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menasihatkan pelancong yang mengunjungi Pantai Chenang dan Tengah di pulau peranginan ini dinasihatkan peka kepada cuaca buruk susulan peralihan angin monsun pada masa ini.
Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, pelancong perlu mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan kawasan pantai tersebut membahayakan pengunjung memandangkan cuaca tidak menentu ketika ini dengan kerap menerima hujan lebat, angin kencang dan ombak besar.
Ini kerana, menurutnya, kes-kes kehilangan nyawa menerusi aktiviti air di kawasan pantai tersebut dilaporkan kerap berlaku ketika musim peralihan monsun seperti sekarang.
“Sikap memandang remeh terhadap perubahan cuaca buruk boleh mengundang tragedi buruk kepada pelancong yang bercuti sempena projek rintis gelembung pelancongan yang bermula 16 September lalu.
“Saya minta pengunjung-pengunjung untuk memberi kerjasama sepenuhnya jika diarahkan untuk meninggalkan kawasan tersebut untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air di Pantai Chenang di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan fasa peralihan angin monsun di negara ini bermula pada 24 September lalu dan dijangka berterusan sehingga awal November ini.
Sayani menambah, pihaknya turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti air di Pantai Chenang selepas pukul 7 petang berikutan keadaan pantai tersebut gelap dan berbahaya untuk melakukan aktiviti air.
“Mereka perlu patuh kerana peraturan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjamin keselamatan semua pengunjung dan mengelak tragedi buruk yang membawa kepada penyesalan berpanjangan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pasukan Bomba Komuniti Pantai Chenang (BKPC), Mohd. Takiyudin Razi berkata, seramai 10 ahli akan melakukan rondaan secara sukarela di kawasan Pantai Chenang yang sepanjang 3.6 kilometer (km) dan Pantai Tengah pula sejauh 3km untuk mengawal keselamatan pelancong di pantai tersebut.
“BKPC juga memberi latihan kecemasan kepada kakitangan hotel yang terletak di pesisir Pantai Chenang dan Pantai Tengah untuk tindakan awal sekiranya berlaku tragedi melibatkan pengunjung di kawasan pantai tersebut,” ujarnya.
Sumber: UTUSAN ONLINE