KUALA LUMPUR: Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) di bawah penyelarasan Unit Perancangan Ekonomi (UPE) sedang dimuktamadkan kerajaan bagi memastikan pencapaian hasil yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia menjadi jajaran strategi dan inisiatif dengan petunjuk prestasi utama (KPI) serta kementerian dan agensi penyelaras dan pelaksana yang bertanggungjawab.
“PPD ini akan disiapkan pada November ini. Satu jawatan kuasa pemantauan akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh saya sendiri untuk memantau pelaksanaan RMK-12 dengan rapi.
“Saya akan mempengerusikan mesyuarat jawatan kuasa pemantauan yang pertama pada pertengahan November ini,” katanya ketika membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini.
Perdana Menteri yakin RMKe-12 dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), wakil rakyat serta rakyat.
“Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua pegawai kerajaan yang bekerja keras dalam penyediaan RMK-12 ini. Saya juga menyeru supaya usaha yang lebih jitu dan tersusun dapat diteruskan bagi memantau serta melaksana semua strategi dan inisiatif bawah RMK-12,” katanya.
Terdahulu, beliau bersyukur kerana usul RMK-12 yang dibentangkan pada 27 September lalu mendapat kelulusan Dewan Rakyat pada 7 Oktober leoas selain secara umum, ia disambut baik oleh semua pihak.
Sumber: UTUSAN ONLINE