fbpx

Bajet 2022 utamakan kebajikan rakyat – PM

ISMAIL Sabri Yaakob dan Hishammuddin Tun Hussein melihat Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera di Taman LTAT Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SHIDIEQIIN ZON

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan membentangkan belanjawan berjumlah RM332.1 bilion adalah bagi mengutamakan kebajikan rakyat yang terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, belanjawan yang dibentangkan itu mengambil kira semua keadaan termasuk kedudukan kewangan negara.

“Saya beritahu sewaktu pra-bajet bahawa bajet ini mengambil kira semua dan kebajikan rakyat adalah amat penting. Rakyat susah selama setahun, ini akibat pandemik ada yang kehabisan wang simpanan.

“Oleh itu, kita beri bantuan-bantuan tunai kepada rakyat untuk bantu mereka teruskan kehidupan, bantuan turut diberi kepada syarikat-syarikat mikro yang terjejas teruk kerana tidak boleh menjalankan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Bukit Jalil, di sini.

Ismail Sabri berkata, Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lalu diakui menelan belanja yang besar.

“Memang benar kita berbelaja besar, kerana kita perlu jaga kebajikan rakyat, saya yakin Kementerian Kewangan akan menguruskan perbelanjaan ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamed semalam di Dewan Rakyat bahawa Bajet 2022 terlalu besar dan memberi kesan buruk terhadap kewangan negara.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menafikan Belanjawan 2022 bersifat perkauman seperti didakwa oleh Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin.

Menurutnya, belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terdapat peruntukan yang disalurkan kepada kaum Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak.

“Saya rasa dia tidak faham mungkin dia tidak baca bajet berkenaaan, apa-apa pun menteri kewangan akan jawab dengan lebih lanjut di Dewan rakyat nanti,” katanya.






Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts