fbpx

Parlimen wujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Parlimen bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa sebagai salah satu jawatankuasa baharu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pembentukan jawatankuasa berkenaan sekaligus menjadikan sebanyak 10 jawatan kuasa pilihan khas Parlimen setakat ini. 

Bagaimanapun, beliau belum mendedahkan individu yang akan mempengerusikan jawatan kuasa berkenaan dan gerangan setiap ahlinya.  

“Saya ingin memaklumkan satu lagi jawatankuasa pilihan khas telah dipersetujui untuk diwujudkan iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa yang mana kini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sepuluh jawatan kuasa dalam proses pemilihan ahli-ahli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, sembilan jawatan kuasa pilihan khas sedia ada telah distruktur semula melibatkan komposisi ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang. 

Katanya, keahlian dalam semua jawatan kuasa pilihan khas itu telah ditambah kepada sembilan daripada tujuh orang ahli iaitu lima ahli Parlimen kerajaan dan empat ahli Parlimen pembangkang dengan nisbah 5:4. 

“Penstrukturan ini adalah susulan daripada termeterainya Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan (PH) pada 13 September lalu,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Beaufort daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Azizah Datuk Seri Mohd. Dun; Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin-UMNO) dan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai-Pas). 

Dua lagi pengerusi jawatankuasa pilihan khas daripada kerajaan ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Insfrastruktur, Yusuf Abd. Wahab (Tanjong Manis-GPS) dan Jawatan Kuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial, Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang-UMNO). 

Pengerusi di pihak pembangkang pula ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan, Datuk Johari Abdul (Sungai Petani-PKR); Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim, Bandar Baharu-PKR); Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching-DAP).







Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts