fbpx

Permohonan kerajaan tangguh keputusan anak lahir luar negara ditolak

Pemandangan dari udara Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 23 April 2020. - Gambar oleh Hari Anggara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan keputusannya memberikan hak kewarganegaraan automatik kepada bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangannya seorang rakyat asing.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, berkata Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu dengan alasan ia akan menyebabkan prejudis dan penderitaan berterusan kepada enam wanita warga Malaysia yang bertindak selaku plaintif.

Gurdial yang mewakili enam wanita warga Malaysia itu berkata, hakim memaklumkan ibu terbabit (plaintif) sudah menunggu terlalu lama dengan mengalami kepayahan, jadi mereka tidak boleh menunggu lagi untuk satu tempoh yang tidak jelas dalam proses rayuan.

“Hakim mendapati kedudukan defendan (Kerajaan Malaysia) adalah bercanggah. Di satu pihak mereka berkata pindaan kepada Perlembagaan untuk memberikan hak itu kepada ibu mesti diluluskan terlebih dulu oleh persidangan raja-raja.

“Kata hakim, ini mengandaikan bahawa pindaan itu adalah perlu. Bagaimanapun, menurut mahkamah, tidak timbul soal pindaan kerana mahkamah sudah memutuskan ibu mempunyai hak ini mengikut Perlembagaan.

“Selanjutnya, hakim mendapati jika pindaan itu diluluskan, tidak timbul isu untuk menarik balik sebarang dokumen dikeluarkan kepada ibu berkenaan seperti diarahkan mahkamah. Hakim menjelaskan jika defendan berhasrat meminda Perlembagaan selaras keputusan mahkamah, maka mereka tidak sepatutnya meletakkan sebarang halangan kepada ibu terbabit,” katanya.

Gurdial berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding kes itu dijalankan secara dalam talian.

Katanya, mahkamah turut memerintahkan kerajaan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, membayar kos sebanyak RM5,000.

Pada 9 September lalu, melalui penghakiman ulung di negara ini, Akhtar memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangannya seorang rakyat asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Beliau membuat keputusan itu melalui saman difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia pada 18 Disember tahun lalu.

Mereka menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara sebagai defendan.

Akhtar memutuskan bahawa wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing, mempunyai hak sama dengan lelaki warga Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing untuk memberikan kewarganegaraan melalui proses undang-undang ke atas anak mereka yang lahir di luar negara.

Beliau juga memerintahkan semua pihak berkuasa mesti mengeluarkan dokumen berkaitan seperti kad pengenalan kepada kanak-kanak terbabit.

Katanya, ini selaras Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Artikel 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang tidak bercanggah dengan Bahagian (1)(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Langkah ini mengambil pendirian tegas bahawa diskriminasi jantina tidak boleh diamalkan kerana Parlimen pada 2000 sudah meminda Perkara 8 Perlembagaan yang menyatakan semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang sama.






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts