KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia akan menambah baik panduan berkaitan tanggungjawab pegawai dan jurulatih semasa menyertai temasya agar insiden seperti atlet paralimpik negara, Muhamad Ziyad Zolkefli yang telah kehilangan pingat emas tidak berulang.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kementerian juga mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Persatuan Para Olahraga Malaysia mengambil tindakan bagi mengemukakan pandangan supaya World Para Athletics (WPA) membuat penambahbaikan khususnya prosedur Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan yang menimbulkan kekeliruan semasa acara berlangsung.
“Berikutan insiden tersebut, kementerian menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah untuk menjalankan siasatan terperinci.
“Kementerian tetap meminta kesemua pihak yang terlibat dan semua pegawai, jurulatih dan atlet untuk lebih berhati-hati bagi memastikan segala peraturan pertandingan sentiasa diberikan keutamaan dan ketepatan.
“Majlis Paralimpik Malaysia juga akan membuat penambahbaikan garis panduan tugas dan tanggungjawab pegawai dan jurulatih semasa menyertai temasya agar perkara seperti ini tidak berulang lagi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Isu itu dibangkitkan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) yang meminta laporan terperinci isu DNS atlet, Muhamad Ziyad di Paralimpik Tokyo 2020 dan tindakan yang telah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.