KUALA LUMPUR: Individu bekerja sendiri yang terbabit dalam bidang p-hailing diwajibkan berdaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, berkuat kuasa 1 Oktober lalu.
Ia selaras pewartaan Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman bagi Orang yang Menjalankan Perkhidmatan Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan) 2021 melalui P.U.(A) 372 bertarikh 21 September lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata melalui kaedah itu, jaminan keselamatan sosial terhadap golongan Orang yang Menjalankan Perkhidmatan Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan akan lebih terpelihara dan terjamin.
“Mana-mana orang bekerja sendiri (OBS) yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri dalam perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan diwajibkan mendaftar dan mencarum bermula 1 Oktober lalu.
“Ia melalui mana-mana pelan caruman pilihan disediakan mengikut Akta 789 (Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017) bermula dengan pilihan pelan caruman bernilai RM157.20, RM232.80, RM442.80 atau RM592.80 bagi tempoh perlindungan selama setahun,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai ketetapan untuk tidak mewajibkan individu terbabit dengan bidang p-hailing mencarum PERKESO pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Awang berkata, strategi dan usaha berterusan sentiasa diambil perhatian kerajaan bagi meningkatkan caruman skim perlindungan PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan, terutama bagi individu terbabit dalam bidang p-hailing dan e-hailing.
Beliau berkata, antaranya mengadakan sesi libat urus dan turun padang membabitkan agensi kerajaan, platform penyedia perkhidmatan ekonomi gig, persatuan, pertubuhan dan sebagainya di seluruh negara.
Selain itu, katanya, PERKESO turut mengadakan memorandum persefahaman bersama beberapa agensi kerajaan dan platform penyedia perkhidmatan bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial kepada OBS.
“Wakil jabatan, agensi atau kesatuan dilantik sebagai Ejen Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri mengikut ketetapan dalam terma dan syarat bagi maksud pungutan dan penerimaan bayaran caruman.
“Ejen berkenaan juga bertanggungjawab melaksanakan aktiviti promosi, publisiti dan pemudah cara bagi tuntutan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri,” katanya.
Sumber: Berita Harian