ALOR SETAR: Polis Kedah menahan 19 individu kerana dipercayai terbabit penjualan dan penggunaan darjah kebesaran negeri yang tidak diiktiraf dalam operasi bermula 7 November lalu hingga semalam.
Semua suspek dikesan menggunakan darjah kebesaran Setia Diraja Kedah (DSDK) sebelum mendapat kurniaan Sultan Kedah.
Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya menerima aduan berkaitan pada 5 Oktober lalu, dibuat Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah yang mengesan kegiatan terbabit.
Menurutnya, bertindak atas laporan, pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan operasi menahan semua individu berdasarkan maklumat yang diperolehi.
“Kesemua 19 individu itu terdiri daripada lelaki dan wanita tempatan berusia antara 30 hingga 63 tahun yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza.
“Tangkapan dilakukan secara berasingan di beberapa lokasi sekitar negeri ini dan beberapa negeri lain di semenanjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, daripada tangkapan ini membawa rampasan beberapa barangan termasuk aksesori dan dokumen serta peralatan berkaitan yang digunakan oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti ini.
Beliau berkata, turut dirampas, kad keahlian Jemaah Dato Negeri Kedah palsu, jata negeri dan beberapa barangan berkaitan Darjah Kebesaran berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati, sindiket ini aktif sejak 2015 dan menggunakan modus operandi mendekati individu dikenal pasti sebagai golongan elit dan ahli perniagaan serta menawarkan gelaran darjah kebesaran Kedah sebelum meminta sejumlah bayaran antara RM25,000 hingga RM103,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya.
Sumber: Berita Harian