KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan dua wanita warga asing yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di Taman KLCC di sini, yang tular di media sosial Twitter baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, hasil penelitian ke atas gambar berkenaan menunjukkan kedua-dua wanita itu sedang berjalan tanpa memakai pelitup muka di laluan pejalan kaki taman tersebut.
Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka satu kertas siasatan mengenai perkara itu.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Noor Dellhan berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19 dan memberi amaran tindakan mengikut peruntukan undang-undang akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan.
Sumber: Astro AWANI