LONDON: Bintang bola sepak wanita Iran, Zohreh Koudaei menafikan dakwaan Persekutuan Bolasepak Jordan bahawa dia seorang lelaki dan bertegas akan mengambil tindakan undang-undang.
Badan induk bola sepak Jordan memohon ‘pemeriksaan pengesahan jantina’ daripada Persekutuan Bolasepak Asia selepas pertembungan September lalu di Uzbekistan.
Koudaei, 32, menyelamatkan dua penalti ketika penentuan yang berkesudahan Iran menang 4-2 dan memastikan tempat ke Piala Wanita Asia buat pertama kali.
Bercakap kepada media Turki, Hurriyet, Koudaei berkata: “Saya seorang wanita. Ini tindakan membuli oleh Jordan. Saya akan memfailkan tindakan undang-undang.”
Dia menambah: “Saya akan saman Persekutuan Bolasepak Jordan. Mereka melakukan perbuatan membuli.”
Ketika membincangkan dakwaan mengejutkan itu, jurucakap AFC enggan mengesahkan sama ada mereka akan menyiasat permintaan itu.
Menerusi satu kenyataan: “AFC tidak mahu memberikan komen mengenai siasatan yang sedang berlangsung dan/atau prosedur, sama ada berlaku atau berpotensi.”
Menurut penyiar Arab Saudi, Al Arabiya menerusi the Times, Koudaei sebelum ini juga sudah dipersoalkan mengenai jantinanya. – AGENSI