fbpx

TUDM pastikan rawatan perubatan Mohd. Fareez, kebajikan keluarga terjamin

MOHD. FAREEZ OMAR

BUTTERWORTH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memastikan segala urusan rawatan perubatan Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, yang cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 Selasa lalu diuruskan dengan sebaik-baiknya. 

Ini termasuk urusan kebajikan isteri pegawai tersebut, Siti Hajar Abdullah serta dua anak mereka yang masing-masing berusia tiga tahun dan lima bulan yang akan dikoordinasikan oleh Pangkalan Udara Butterworth di sini. 

Dalam kenyataan hari ini, TUDM memaklumkan, Mohd. Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang telah selamat menjalani pembedahan pukul 7 malam, Rabu lalu di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini. 

“Mohd. Fareez telah selamat menjalani pembedahan tanpa sebarang komplikasi buat masa sekarang dan telah sedar serta berada dalam keadaan yang stabil. 

“Beliau bagaimanapun kini berada dalam pemantauan pegawai perubatan di hospital itu dan memerlukan rawatan susulan,” katanya. 

Pada masa sama kata kenyataan itu, Lembaga Siasatan juga telah ditubuhkan untuk menyiasat nahas itu secara lebih terperinci. 

“Dalam hal ini, TUDM juga meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak sahih kebenarannya selain turut sama mendoakan kesembuhan Mohd. Fareez,” katanya. 

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.07 malam dalam kawasan Pangkalan Udara Butterworth Selasa lalu itu bagaimanapun mengorbankan seorang lagi juruterbang, Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, ketika kedua-dua mereka sedang mengikuti sesi latihan penerbangan malam.






Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts