fbpx

8 Disember keputusan rayuan Najib kes SRC

Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadiri perbicaraan 1MDB pada 18 November. — AZMAN GHANI/The Star

PUTRAJAYA: Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman dikenakan terhadapnya membabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) akan diputuskan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember ini.

Tarikh itu dimaklumkan melalui kenyataan media oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya yang dikeluarkan hari ini.

Rayuan Najib akan diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera pada jam 9 pagi.

Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Sementara itu, panel hakim Mahkamah Rayuan sama yang mendengar rayuan Ahli Parlimen Pekan itu selama 15 hari bermula 5 hingga 8 April, 12 hingga 15 April dan 19 hingga 22 April dan atas permohonan pembelaan, panel memutuskan melanjutkan prosiding dari 27 hingga 28 April serta 18 Mei lalu.

Dalam prosiding rayuan berkenaan, Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram bertindak bagi pihak pendakwaan

Najib memfailkan notis rayuannya pada 30 Julai tahun lalu yang mana dalam petisyen rayuannya, beliau mengemukakan 307 alasan kenapa dirinya tidak patut didapati bersalah terhadap kesemua tuduhan berkenaan.

Antara alasan dikemukakan Najib adalah, Mohd Nazlan gagal menimbangkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank miliknya ketika mensabitkan beliau terhadap tujuh tuduhan terbabit.

Beliau berkata, Mohd Nazlan terkhilaf dalam fakta dan undang-undang melalui penemuannya bahawa pembabitan Jho Low dalam arahan pengeluaran dana dan keterangan lain yang menunjukkan kegunaan dana SRC untuk kepentingan lelaki itu termasuk RM42 juta iaitu perkara pokok dalam tuduhan, bukan keterangan yang memihak kepadanya.

Hakim itu didakwa terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mendapati beliau ada kepentingan dalam SRC danmembuat dapatan bahawa dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun beliauadalah milik SRC serta gagal menghargai bahawa ia datang daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd yang tidak diperincikan dalam kertas tuduhan.

Mohd Nazlan juga didakwa terkhilaf apabila membuat dapatan pembelaannya mengenai sumbangan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud, melalui tiga surat adalah cerita dibuat-buat.

Najib kini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.








Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts