fbpx

Kabinet putus kos haji selewat-lewatnya bulan depan

JOHOR BAHRU: Keputusan kos haji bagi musim 1443H/2022M sama ada kekal atau akan naik susulan peningkatan kos akan diputuskan Kabinet selewat-lewatnya Januari depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, berkata Lembaga Tabung Haji (TH) dijadualkan akan memberikan taklimat berhubung isu itu kepada beliau minggu hadapan.

“Saya akan bawakan perincian taklimat TH itu ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi capai keputusan muktamad.

“Dijangkakan, selewat-lewatnya bulan depan (Januari) Kabinet akan beri keputusan muktamad sama ada kos haji musim depan akan naik atau kekal.

“Setakat ini saya tidak dapat ulas lagi sama ada kos haji musim depan akan naik atau tidak. Namun kos umrah pun dilaporkan sudah bertambah lebih RM2,000, walaupun ia hanya 10 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia dan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di Dewan Masjid al-Jawaher Mutiara Rini, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, kerajaan menjangkakan kos mengerjakan haji meningkat kepada lebih RM30,000, iaitu peningkatan sehingga 50 peratus berbanding sebelum ini RM23,000.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, dilaporkan berkata peningkatan itu disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) diperkenalkan kerajaan Arab Saudi naik 15 peratus, berbanding lima peratus sebelumnya.

Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan akan mengambil kira faktor menang-menang terhadap pendeposit TH selain kebajikan bakal jemaah haji terutama golongan B40, sebelum membuat keputusan muktamad berhubung isu kos haji.

Ditanya mengenai cadangan supaya subsidi bersasar diberikan kepada golongan B40 yang mahu menunaikan haji, Idris berkata, perkara itu perlu dibincangkan bersama pengurusan TH.

“TH sebagai operator pengurusan haji negara perlu ambil kira tanggungjawab kepada pendeposit yang kebanyakannya sudah menunaikan haji selain kebajikan bakal jemaah haji dalam kalangan B40.

“TH tidak boleh mengambil tindakan sendiri. Kerajaan juga tidak mahu hanya isytihar tindakan populis semata-mata kerana kita perlu realistik.

“Setiap tahun TH buka peluang kepada mana-mana jemaah haji yang tidak mahu mengambil subsidi haji, namun tidak ramai yang menyahut peluang itu,” katanya.






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts