fbpx

Bekalan air LRA Semenyih 2 pulih sepenuhnya malam ini

Air Selangor berkata, bantuan alternatif melalui lori tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan terjejas. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Air dari Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dibekalkan semula kepada pengguna di kawasan terjejas secara berperingkat dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan, memaklumkan setakat jam 7 pagi tadi operasi LRA Semenyih 2 sudah dimulakan, manakala operasi di LRA Sg Langat dimulakan sepenuhnya dan proses pemulihan bekalan akan diumumkan kelak.

“Bagi LRA Langat 2, proses pengepaman air mentah sudah dimulakan. Proses pemulihan bekalan akan diumumkan kelak. Bagi LRA Cheras Batu 11, proses pembersihan loji rawatan air berikutan insiden banjir sedang dilaksanakan.

“Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor memaklumkan, bantuan alternatif melalui lori tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Air Selangor dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya terpaksa menghenti tugas satu lagi loji rawatan air iaitu LRA Semenyih 2 berikutan peningkatan paras air yang masuk ke rumah pam air mentah.

Berikutan itu, sebanyak 70 kawasan di wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pengguna boleh merujuk kepada saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – BERNAMA






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts