fbpx

Hospital Medan ATM Hospital Sultanah Aminah ditutup

Hospital Medan ATM yang beroperasi di hadapan HSA, Johor Bahru ditutup Khamis lalu.

JOHOR BAHRU: Selepas enam bulan beroperasi, Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, ditutup Khamis lalu berikutan kes COVID-19 di negeri ini mula menunjukkan penurunan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata sepanjang tempoh operasi hospital medan itu sudah merawat 1,592 pesakit COVID-19 kategori satu hingga empat dari seluruh negeri.

Beliau berkata, hospital medan berkenaan diaktifkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dengan kerjasama ATM pada 6 Jun lalu dan mula menerima pesakit COVID-19 pada 21 Jun.

“Kerjasama yang baik dipamerkan oleh pelbagai agensi dalam penubuhan dan pengoperasian hospital medan ini.

“Kerajaan negeri menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua barisan hadapan dan agensi terbabit. Ucapan penghargaan juga kepada pihak yang memberi sumbangan kepada hospital medan ini sepanjang tempoh pengoperasiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai 70 anggota ATM bersama 74 petugas kesihatan HSA menggembleng tenaga dalam merawat pesakit COVID-19 di hospital medan itu.

“Pada mulanya hospital medan terletak di pekarangan HSA ini hanya mempunyai kapasiti 60 katil wad dan empat katil unit rawatan rapi (ICU).

“Namun, sekitar Ogos hingga Oktober lalu sebanyak 16 katil ditambah bagi menampung bilangan kemasukan pesakit yang tinggi ketika itu,” katanya.

Johor mencatatkan 297 kes baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negeri ini 240,286 dan merekodkan 3,822 kematian. – BERNAMA






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts