fbpx

Amaran banjir bukan kuasa Jabatan Perhutanan

Pemandangan udara menunjukkan kawasan perumahan di Taman Pinggiran Sungai Kelamah ditenggelami banjir. - Foto BERNAMA

TAMPIN: Amaran awal banjir bukan di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, termasuk di Taman Pinggiran FELDA Sungai Kelemah, Gemas.

Pengarahnya, Saleh Awaluddin, berkata kekeliruan timbul ekoran sebelum ini bil elektrik siren berkenaan dibayar Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, namun ia sudah tidak berfungsi dan pihaknya membuat pemotongan bekalan elektrik.

“Kami membuat permohonan menutup akaun elektrik siren amaran itu, selepas mendapati ia bukan di bawah tanggungjawab jabatan dan sistem sudah rosak.

“Siren itu berada di kawasan perumahan yang jelas di luar hutan simpan. Jika di bawah Jabatan Perhutanan sekalipun, saya perlu kena semak sebab dipasang di lokasi berkenaan (kawasan perumahan).

“Setahu saya isu banjir bukan di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan, melainkan jika kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di kawasan hutan lipur atau hutan simpan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Saleh berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan hanya membantu memberi pandangan kepada pihak terbabit ketika sistem siren amaran itu mahu dipasang di mana-mana lokasi di bawah tanggungjawab jabatannya.

Beliau berkata, hanya terdapat dua sistem amaran siren banjir di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan, iaitu di Hutan Lipur Gua Batu Maloi di Tampin dan Hutan Lipur Ulu Bendul di Kuala Pilah.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan semakan mendapati, pemotongan bekalan elektrik bagi akaun sistem amaran siren banjir di kawasan Taman Pinggiran FELDA Sungai Kelamah itu mengikuti proses lazim.

Menurut kenyataan itu, semakan TNB menunjukkan Pejabat Hutan Negeri Sembilan membuat permohonan penutupan akaun pada 12 Oktober tahun lalu, berikutan siren di kedua-dua kawasan itu tidak berfungsi.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di Taman Pinggiran FELDA Sungai Kelamah kecewa apabila siren amaran banjir yang dipasang di taman itu gagal berfungsi, memaksa mereka berpindah sehelai sepinggang.

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts