KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merasakan sudah terlalu lewat untuk membuat sebarang perubahan berhubung kuota pemain import bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Namun, FAM bersedia berbincang dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku pentadbir Liga-M untuk melihat dan mengkaji semula kebenaran mendaftarkan pemain import dalam usaha memelihara standard pemain tempatan di peringkat domestik.
Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar menjangkakan sebarang perubahan mengenai jumlah pemain import itu akan dapat diketahui selewat-lewatnya pada dua musim mendatang.
“Buat setakat ini kita tidak ada perubahan lagi, walau bagaimanapun saya rasa Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Datuk S.Sivasundaram akan bincang perkara ini secara teliti sama ada kita perlu kurangkan ataupun kekal dengan ketetapan sama.
“Tetapi apa yang pasti bukan lah pada musim ini kerana sudah terlalu lewat, kalau kita buat pun mungkin dua musim akan datang,” katanya ketika ditemui pada final Kejohanan Bola Sepak Wanita Kuala Lumpur (KLWFC) 2021 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Berdasarkan peraturan Liga-M, pasukan Liga Super dan Liga Premier masing-masing dibenarkan mendaftar maksimum lima dan empat pemain asing bagi mengharungi saingan liga.
Pendaftaran lima pemain asing bagi saingan Liga Super itu merangkumi masing-masing satu slot pemain Asia dan Asia Tenggara manakala empat pemain import untuk pasukan Liga Premier termasuk satu slot pemain Asia.
Ketika ini, topik mengenai kuota pemain import kembali hangat diperkatakan selepas kegagalan pasukan negara pada kempen Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020.
Kuota tersebut dianggap menjadi antara punca utama kepada kemerosotan prestasi Malaysia di peringkat antarabangsa, selain penyebab skuad kebangsaan ketandusan penyerang berkualiti susulan kebergantungan pasukan menggunakan khidmat pemain import di posisi itu.
Perkara tersebut bukan sahaja mendapat reaksi dari peminat dan pengkritik, malah terdapat juga pemain tempatan yang menyarankan supaya kuota pemain import dikurangkan bagi memberi lebih ruang kepada barisan pemain tempatan mengisi tempat dalam kesebelasan utama.– BERNAMA
Sumber: Astro AWANI