fbpx

Empat kes varian Omicron dikesan di Kelantan

Kota Bharu: Seramai empat individu di Kelantan yang disahkan positif Covid-19 varian Omicron, semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin ketika diminta mengulas laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dipaparkan di Facebook Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan empat kes varian Omicron itu membabitkan penduduk dari Kelantan.

Dr Zaini berkata, empat kes itu adalah mereka yang pulang dari Arab Saudi iaitu tiga daripadanya tiba pada 22 Disember lalu, dan seorang lagi pada 19 Disember.

“Tiga individu dijangkiti Covid-19 varian Omicron pada kategori satu dan mempunyai gejala, manakala seorang lagi kategori satu serta tidak mempunyai gejala.

“Kesemua mereka menjalani kuarantin seperti yang disarankan oleh KKM yang dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Dr Zaini, individu yang baru pulang dari luar negara disarankan supaya terus menjalani kuarantin wajib dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan penularan Covid-19 terutama varian Omicron kepada individu lain dan pada masa yang sama dapat mencegah penularan dalam komuniti.

“Saya berharap walaupun Kelantan sudah berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), setiap rakyat negeri ini diminta terus menjaga diri dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak jangkitan Covid-19.

“Jika ada gejala, kita minta mereka terus melakukan ujian kendiri dan mengelakkan diri daripada bercampur dengan individu lain termasuk ahli keluarga,” katanya.





Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts