STOCKHOLM: Christian Eriksen berkata hari ini dia bercadang untuk kembali bermain bola sepak buat Denmark di Piala Dunia namum temubual bersama penyiar Denmark itu mencetuskan banyak persoalan ketika masa depannnya masih belum menentu.
Kontrak pemain Denmark itu baru-baru ini ditamatkan oleh Milan selepas satu alat diletakkan pada jantungnya berikutan tumbang ketika mewakili negaranya berdepan Finland pada Euro 2020 di Copenhagen.
Alat seperti itu tidak dibenarkan di Itali dan kariernya turut tamat.
Menerusi temubual bersama DR, ia dilihat seperti satu rayuan daripada pemain berusia 29 tahun itu namun peluangnya untuk kembali masih belum pasti.
Bekas rakan sepasukannya, Daley Blind juga memakai alat yang sama dan bermain di Ajax Amsterdam, kelab Belanda tempat Eriksen mencipta nama sebelum bermain di Liga Perdana bersama Tottenham Hotspur dan beberapa kelab tampak boleh mendapatkan khidmat Eriksen.
Eriksen bagaimanapun sedar dia perlu meyakinkan mana-mana kelab bahawa dia cukup cergas untuk bermain.
“Itulah yang saya rasakan masanya sudah tiba untuk saya mengadakan temubual, kerana saya tahu apa yang saya mahukan – saya mahu bermain bola sepak semula,” katanya kepada DR.
Eriksen tampak tenang ketika membincangkan apa yang mungkin terjadi dan mengambil peluang meyakinkan kelab bahawa jantungnya boleh dipercayai.
“Mereka (doktor) sudah berkata bahawa ia ‘Okey’,ia bagus, jadi semuanya stabil, justeru ia seperti lampu hijau untuk kembali bermain bola sepak,” kata Eriksen. – REUTERS
Sumber: Berita Harian