fbpx

Nadal hentam Djokovic

Melbourne: Rafael Nadal berkata seteru utamanya, Novak Djokovic perlu berdepan akibat kerana tidak mengambil vaksin Covid-19.

Pemain nombor satu dunia itu dihalang oleh pihak berkuasa sempadan semasa tiba Australia, Rabu lalu dan visanya dibatalkan kerana gagal memenuhi syarat kemasukan vaksin Covid-19.

Dia berdepan dengan pengusiran tetapi mengambil keputusan mencabar mahkamah untuk kekal di negara itu dan beraksi di Terbuka Australia di mana dia serta Nadal sedang mengejar rekod kejuaraan Grand Slam ke-21.

Nadal yang dijangkiti Covid-19 bulan lalu berkata, dia adalah seorang yang percaya kepada pengambilan vaksin bagi mengurangkan jumlah kematian.

“Saya pernah dijangkiti Covid-19. Saya juga sudah dua kali mengambil vaksin. Jika anda melakukan semua ini, anda tidak mempunyai masalah untuk beraksi di sini. Ia adalah perkara yang jelas.

“Perkara yang jelas bagi saya ialah jika anda mengambil vaksin, anda akan dapat beraksi di Terbuka Australia atau tempat lain. Dunia bagi saya sudah cukup menderita jika kita tidak mengikut peraturan ditetapkan.

“Dia membuat keputusannya sendiri dan setiap orang juga bebas untuk membuat keputusan mereka. Tetapi anda perlu terima akibatnya,” katanya di Melbourne selepas memenangi perlawanan pertamanya di Jelajah ATP sejak Ogos tahun lalu.

Jelas Nadal, sudah tentu dia juga tidak gembira dengan situasi semasa dan kadangkala bersimpati dengan Djokovic.

“Tetapi pada masa sama, dia tahu situasi sebenar sejak berbulan lalu, jadi dia sudah membuat keputusannya sendiri,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts