fbpx

Model penyelidikan, ramalan MetMalaysia beri ketepatan hingga 85 peratus

Dark cloud appear on top of Kuala Lumpur City during raining session - Art Chen/ The Star.

KUALA LUMPUR: Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF) boleh memberi ketepatan cuaca hingga 85 peratus bagi penghasilan ramalan tiga hari sebelum kejadian dan 60 hingga 70 peratus bagi ramalan empat hingga tujuh hari awal.

Selain model dibangunkan sendiri itu, MetMalaysia menggunakan analisis model luar negara seperti Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMWF), Sistem Ramalan Global (GFS) dan Model Bersepadu Pejabat Meteorologi United Kingdom (UM) bagi meramal cuaca.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata sistem ramalan cuaca negara bersandarkan model ramalan cuaca numerikal yang dianalisis seterusnya ditafsirkan pegawai meteorologi.

Katanya, peratus ketepatan ramalan cuaca dihasilkan bergantung kepada musim cuaca dialami negara.

“Semasa Monsun Timur Laut, sistem cuaca adalah lebih besar dan tempoh hujan juga lebih panjang dan berterusan.

“Keadaan ini lebih senang untuk diramal dan peratusannya juga adalah tinggi iaitu sekitar 80 hingga 90 peratus, manakala semasa fasa peralihan monsun dan Monsun Barat Daya pula sistem cuacanya berbeza.

“Ribut petir dan hujan yang berlaku adalah berskala lebih kecil dan jangka hayatnya pun lebih pendek. Ianya lebih sukar untuk diramal dan peratusan ramalan semasa fasa ini adalah lebih rendah sekitar 75 hingga 85 peratus,” katanya kepada BH, hari ini.

Ditanya langkah MetMalaysia meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan ramalan cuaca, Muhammad Helmi berkata, pihaknya berperanan membekalkan maklumat ramalan cuaca dan menyebarkan amaran cuaca kepada orang awam terutama melalui siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), laman web, media sosial dan media massa.

Katanya, MetMalaysia juga menambahbaik sistem penyampaian maklumat dengan membangunkan aplikasi myCuaca yang memberikan maklumat ramalan dan amaran cuaca untuk diakses menggunakan telefon bimbit pada bila-bila masa, seiring perkembangan semasa supaya penyampaian perkhidmatan dapat memenuhi kehendak rakyat.

“MET Malaysia akan memperkenalkan aplikasi RakanMET iaitu medium interaksi dua hala antara MetMalaysia dan orang awam bagi perkongsian maklumat sahih mengenai keadaan cuaca semasa di semua lokasi dalam negara.

“Program kesedaran turut dijalankan dari semasa ke semasa berkenaan cuaca, geofizik dan tsunami yang mendapat kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Selain menggunakan platform media sosial sebagai saluran penyampaian ramalan dan amaran, MetMalaysia mengadakan webinar dan memuat naik infografik serta video pendek di semua platform media sosial, terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews