fbpx

Sabah benarkan Tarian Singa, Naga sempena Tahun Baharu Cina

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membenarkan persembahan Tarian Singa dan Naga dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata peserta tarian itu mesti sudah lengkap vaksin, manakala kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun tidak dibenarkan ikut serta.

Katanya, penjarakan satu meter dan pemakaian pelitup muka juga perlu dipatuhi sebagai langkah pencegahan mengelak penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan peserta dan penonton.

“Pergerakan kumpulan persembahan sepanjang tempoh sambutan perayaan Tahun Baharu Cina bagaimanapun tertakluk kepada kebenaran pihak polis,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata kebenaran persembahan tarian berkenaan berkuat kuasa mulai Isnin ini (31 Januari) hingga sambutan Chap Goh Mei pada 15 Februari.

Selain itu, katanya, masyarakat Cina yang akan menyambut Tahun Baharu Cina pada Selasa depan turut dibenarkan mengadakan acara tradisi makan besar bersama ahli keluarga pada malam menjelang tahun baharu.

“Aktiviti kunjung mengunjung juga dibenarkan, manakala majlis resepsi sempena sambutan perayaan hanya dibenarkan berdasarkan jemputan. Tuan rumah perlu menyediakan aplikasi MySejahtera atau buku log kehadiran.

“Kehadiran jemputan terhad kepada 50 peratus ruang dengan penjarakan fizikal satu meter, manakala orang awam tanpa jemputan tidak dibenarkan hadir.

“Rumah terbuka tidak dibenarkan,” katanya.

Masidi berkata, aktiviti sembahyang di tokong pada 1 dan 2 Februari serta sembahyang khas klan Hokkien pada 8 dan 9 Februari, selain sembahyang sempena Chap Goh Mei pada 15 Februari turut dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya, kehadiran di rumah ibadat perlu mematuhi penjarakan fizikal satu meter, manakala aktiviti sembahyang dihadkan selama dua jam bagi setiap sesi.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts