fbpx

Maszlee nafi terima rasuah

Foto: BERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, hari ini menafikan dakwaan rasuah yang membabitkan dirinya.

Dalam satu kenyataan, bekas Menteri Pendidikan itu menyifatkan, dakwaan berkenaan sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat atau malafide kepadanya oleh pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya sudah membaca laporan yang dikeluarkan sebuah portal semalam, berhubung dakwaan rasuah membabitkan saya yang ditimbulkan oleh pihak tertentu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan berunsur dusta berbaur dan fitnah ini.

“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (malafide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu pendidikan.

“Hidup dan perjuangan saya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib orang kelainan upaya (OKU), nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti bagi negara kita yang tercinta,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan sebarang siasatan terhadapnya.

Isu rasuah Maszlee dikatakan berhubung dakwaan beliau menerima sejumlah wang bagi aktiviti politiknya.

Beliau didakwa menerima wang daripada seorang pembekal untuk Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menyebut, pihaknya sudah menerima dua aduan terhadap Maszlee dan sedang menjalankan siasatan terhadap perkara itu.

Agensi penguatkuasaan itu turut menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pegawai SPRM melakukan intimidasi seperti didakwa oleh Ahli Parlimen itu.

“SPRM ingin menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan selepas terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan mengikut peruntukan undang-undang.

“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP), dengan menemubual beberapa saksi yang terbabit.

“Kami tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews