fbpx

Pupuk sikap bertanggungjawab ketika komunikasi – Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Keluarga Malaysia diharap terus memupuk sikap kebertanggungjawaban terhadap diri sendiri dan orang lain ketika berkomunikasi ketika semua pihak kini beralih kepada penggunaan teknologi digital ekoran penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia boleh dilakukan dengan mengamalkan kaedah komunikasi yang mengambil kira inklusif dan tanggungjawab selain meningkatkan keakraban bagi membentuk komuniti digital yang harmoni, sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 – Edisi Malaysia yang bertemakan K.I.T.A Siber.

Beliau berkata, ketika negara dilanda pandemik COVID-19, kebanyakan ahli Keluarga Malaysia beralih ke arah penggunaan teknologi digital dalam setiap aspek kehidupan mereka.

Katanya, ia menyebabkan berlakunya transformasi pada pola komunikasi dan sosial, norma baharu.

“Namun, situasi ini menyebabkan kebanyakan kita alpa dalam untuk menjaga adab dan etika walaupun dalam dunia siber.

“Teknologi digital banyak membantu serta melancarkan aktiviti kita, tetapi penyalahgunaan teknologi masih berlaku termasuklah dalam penggunaan Internet dan media sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, sehingga muncul pelbagai jenis ancaman serta jenayah siber,” katanya dalam satu perkongsian melalui media sosial, hari ini.

Justeru, Perdana Menteri berkata, Keluarga Malaysia perlu berperanan membentuk sahsiah dan kawal kendiri bagi menyemai serta mengukuhkan kesepaduan komuniti dalam ekosistem siber agar ancaman dan jenayah siber dapat ditangani.

Pada masa sama, katanya, ia juga bertujuan mewujudkan persekitaran siber yang positif dan sejahtera.

“Selamat Hari Keselamatan Internet 2022.

“Sentiasa bijak, sentiasa selamat. Bersama-sama ke arah kesejahteraan siber,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts