fbpx

FAM tetap bida tuan rumah pusingan ketiga Piala Asia

fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kuala Lumpur: Di sebalik peningkatan mendadak kes Covid-19 di dalam negara ketika ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap akan meneruskan usaha membida sebagai tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada pertengahan tahun ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan rasmi kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Betul meningkat (Covid-19) tapi ia berbeza kerana sudah banyak dapat dos (vaksin), jadi kita ikut segala SOP (prosedur operasi standard) MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya.

Ujarnya lagi, persaingan untuk merebut hak tuan rumah bagi aksi kumpulan membabitkan skuad Harimau Malaya bukan mudah kerana hampir semua pasukan turut menyerahkan permohonan masing-masing.

Ini bermakna, perebutan cukup sengit dengan AFC akan membuat keputusan selepas majlis undian kelayakan berakhir pada 24 Februari ini.

“AFC akan buat keputusan sama ada kita berjaya atau tidak kerana saya difahamkan daripada Setiausaha Agung AFC (Datuk Windsor John) hampir kebanyakan pasukan membida untuk jadi tuan rumah, bukan kita sahaja.

“Jadi, AFC ada kriteria mereka dan setakat ini saya difahamkan kita masih (memenuhi kriteria), cuma terpaksa bersaing dengan negara lain.

“Ada sesetengah (negara) itu langsung tiada kuarantin. Jadi, AFC akan tengok semua kriteria dan yang paling mustahak pasukan kita kena bersedia sama ada bermain di dalam negara atau di luar,” katanya.

Skuad Harimau Malaya terpaksa mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok 12 pasukan terbaik pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun tahun lalu.

Untuk layak ke Piala Asia yang dijadual berlangsung di China nanti, Malaysia harus menamatkan kedudukan selaku juara kumpulan atau mengakhiri cabaran selaku lima naib juara terbaik.

Justeru, kelebihan selaku tuan rumah mungkin memberi tonik tambahan buat Harimau Malaya kembali beraksi di saingan itu selepas kali terakhir membuat kemunculan pada 2007.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts