fbpx

KPM minta SPR tak guna sekolah menengah untuk mengundi

Foto: Siakap keli

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengulangi pendirian dengan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menggunakan sekolah menengah (SM) di seluruh Johor sebagai pusat pembuangan undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Ia kerana, semua SM di seluruh negara akan digunakan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selari ketetapan KPM yang tidak mahu premis itu digunakan, jika PRN Johor diadakan dalam tempoh berkenaan.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada SPR bagi menjelaskan perkara berkenaan, berdasarkan maklum balas dan maklumat diterima pada sesi libat urus selama tiga hari bersama guru, warga pendidik dan pentadbir sekolah di Johor, baru-baru ini.

Beliau berkata, hampir keseluruhan kelas di SM akan digunakan bagi pelajar menduduki SPM, membabitkan bilik peperiksaan utama, khas, alternatif, pengasingan dan lain-lain, berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi pelaksanaan peperiksaan itu.

Selain itu, katanya, setiausaha peperiksaan di setiap sekolah sudah membuat penyusunan semua proses peperiksaan, membabitkan SOP baharu yang tidak pernah digunakan sebelum tempoh pandemik Covid-19.

“Dalam konteks SOP baharu ini, hampir keseluruhan bilik darjah (kelas) di sekolah digunakan. Pertama sekali sebagai bilik peperiksaan utama, namun begitu kita ada juga bilik alternatif sekiranya murid perlu dipindahkan, ke manakah mereka akan dipindahkan? Maka mereka akan dipindahkan ke bilik alternatif.

“Pada masa sama, kita mempunyai bilik khas ‘just in case’ (sebagai persediaan) sekiranya ada keadaan tertentu yang memerlukan murid diasingkan daripada murid lain. Ini belum bilik isolasi (pengasingan) dan bilik lain.

“Secara umumnya, hampir kesemua bilik di sekolah ini (SM) atau bilik darjah (kelas) di sekolah digunakan bagi tujuan peperiksaan SPM.

“Pada Khamis, sebelum pengundian (PRN Johor) nanti akan ada peperiksaan (subjek) Matematik dan ini akan membabitkan semua calon SPM di seluruh negara, termasuklah di Johor,” katanya dalam mesej video dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Semalam, Radzi dilaporkan berkata, sesi persekolahan dan peperiksaan SPM 2021 akan diteruskan pada Mac ini walaupun pun kes Covid-19 kembali melonjak.

KPM juga komited untuk memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan SOP Covid-19 ditetapkan dipatuhi.

SPR Rabu lalu, menetapkan PRN Johor diadakan pada 12 Mac ini dengan hari mengundi awal ditetapkan pada 8 Mac, manakala penamaan calon pada 26 Februari ini.

PRN Johor perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor penggal ke-14 daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat pada 23 Januari lalu.

Sementara itu, Radzi berkata, sebarang gangguan terhadap penyusunan proses atau tatacara SPM dikhuatiri akan memberi kesan kepada keputusan atau susun atur penyelarasan keputusan peperiksaan berkenaan nanti.

“Maka kita tidak mahu susunan ini diganggu, dipindahkan (atau) diasingkan…digunakan untuk tujuan pilihan raya kerana nanti proses atau tatacara digunakan dalam penyusunan ini perlu diteliti satu persatu kembali.

“Ini kerana setiap meja itu ada barcode dan disusun mengikut indeks yg lengkap dan teratur dengan sebarang perubahan tanpa penelitian akan memberi kesan kepada keputusan atau susun atur penyelarasan keputusan peperiksaan nanti.

“Ini kerana, untuk SPM kali ini, seperti mana pada tahun lalu sekiranya pelajar tidak dapat menduduki SPM kerana dikuarantin, mereka akan mendudukinya dalam tempoh yang akan ditetapkan kemudian.

“Sebab itu, penyusunan dalam bilik peperiksaan perlu dibuat secara teliti dan kita tidak mahu susunan ini diganggu-gugat bagi memastikan kelancaran SPM,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts