fbpx

Bicara kes rasuah Rosmah tangguh, peguam positif COVID-19

Datin Seri Rosmah Mansor is pictured at the Kuala Lumpur High Court February 4, 2022. ― Picture by Ahmad Zamzahuri

KUALA LUMPUR: Perbicaraan bela diri kes rasuah dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak hari ini ditangguhkan kerana salah seorang peguam, isteri bekas perdana menteri itu disahkan positif COVID-19.

Di awal prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah tinggi, bahawa peguam Datuk Akberdin Abdul Kader disahkan positif COVID-19.

Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, berkata Akberdin disahkan positif selepas didiagnosis pada 12 Februari lalu dan pihak pembelaan dimaklumkan mengenainya melalui surat yang diterima daripada firma guaman Jagjit Singh & Co.

Menurutnya, dua lagi peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork pula terpaksa menjalani kuarantin kendiri kerana mereka adalah kontak rapat selepas bertemu dengan Akberdin pada 10 Februari lalu.

Mohamed Zaini turut mendoakan Akberdin supaya berada dalam keadaan baik dan sembuh daripada wabak COVID-19.

Sementara itu, mahkamah diberitahu bahawa Rosmah memfailkan permohonan untuk memanggil semula saksi utama pendakwaan ke-17, iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Sri Ram berkata, pendakwaan akan menjawab afidavit permohonan itu selewat-lewatnya Khamis ini.

Sehubungan itu,Mohamed Zaini menetapkan pada 23 Februari ini untuk menyambung perbicaraan dengan pihak pendakwaan menyoal balas saksi akhir pembelaan iaitu bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Perbicaraan kes itu sudah memasuki peringkat akhir di mana mahkamah dijangka akan menutup kes selepas selesai mendengar keterangan saksi pembelaan.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan Rosmah untuk memanggil semula Saidi pada tarikh sama.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa.

Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari 2020.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts