fbpx

Lulus tiket penerbangan untuk isteri, anak, SPRM tahan pengarah jabatan

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah sebuah jabatan kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya ketika berkhidmat di sebuah kolej awam di sini.

Menurut sumber, suspek ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kira-kira jam 9 pagi semalam.

Lelaki berusia 54 tahun itu yang dipercayai menggunakan jawatannya sebagai pengarah ketika berkhidmat di sebuah kolej awam di sini, antara 2017 hingga 2018, meluluskan tiket penerbangan bagi isteri dan anaknya bernilai kira-kira RM6,000, sedangkan mereka tidak layak untuk kemudahan itu.

Difahamkan, suspek menggunakan tiket kapal terbang itu bersama isteri dan anaknya ke Kuala Lumpur atas urusan kerja beberapa kali walaupun kelayakan sebenar suspek hanyalah setahun sekali.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek dilepaskan dengan Bon Jaminan SPRM dengan seorang penjamin.

“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di Tawau bagi menjalani pertuduhan pada 24 Februari ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts