fbpx

KPM belum putuskan laksana semula PT3, atau tangguh

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mencari pendekatan sesuai sebelum melaksanakan semula ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), selepas dua tahun ia ditangguhkan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketika ini pihak kementerian belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk melaksanakannya semula atau sebaliknya.

Beliau berkata, kementerian juga sedang meneliti pendekatan paling sesuai dengan mengambil kira tahap penguasaan murid.

“Berikutan itu, kita tengah tengok tahap penguasaan murid apabila sekolah dibuka pada hari ini. Belum ada sebarang keputusan rasmi oleh KPM berkaitan dengan PT3.

“Apa yang kita ingin lihat adalah tahap penguasaan anak-anak kita yang berada di sekolah…mereka sudah mula masuk ke sekolah, untuk membolehkan kita mendapat indikasi apakah pendekatan yang paling sesuai,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Sekolahku SEJAHTERA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Radzi berkata demikian mengulas mengenai pemakluman Lembaga Peperiksaan Sabtu lalu, berhubung perkara itu yang akan diadakan semula pada tahun ini.

Sabtu lalu, satu pemakluman dimuat naik lembaga itu di laman Facebook, menyatakan PT3 dilaksanakan pada Oktober hingga November.

Ia selari pelaksanaan PT3 yang ditangguhkan selama dua tahun sejak 2020 akibat pandemik COVID-19. Bagaimanapun pemakluman itu kemudian ditarik balik.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, KPM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penggunaan kemudahan sekolah menengah sebagai pusat pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.

Beliau berkata, jika terpaksa juga digunakan untuk kelancaran proses PRN Johor, beliau berharap ia tidak membabitkan bilik darjah yang menjadi bilik peperiksaan, bilik khas dan isolasi untuk peperiksaan awam yang akan berlangsung bulan depan.

“Sebelum ini perbincangan telah dibuat dan perbincangan lanjut esok (Selasa). Jika terpaksa guna, ada pendekatan yang akan diambil, namun kita cuba elakkan kerana tempoh masa yang singkat (untuk menyusun semula meja untuk tujuan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ada hari Ahad sahaja untuk guru sekolah buat persediaan dan susur atur meja ini telah lama dibuat. Untuk dirombak dan disusun semula dalam masa satu hari adalah suatu perkara bukan mudah kerana terdapat cara dan peraturannya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 151 sekolah dijadikan sebagai pusat pengundian pada PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini, manakala SPM pula berlangsung dari 2 hingga 29 Mac.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts