fbpx

KPDNHEP jamin bekalan RTK cukup dalam pasaran

Foto: Shutterstock Images

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan kit ujian pantas (RTK) Antigen COVID-19 adalah mencukupi dalam pasaran ketika ini.

KPDNHEP dalam satu kenyataan, hari ini, berkata berdasarkan statistik penguatkuasaan dan pemantauan yang dijalankan setakat ini, ada kira-kira 18 juta unit kit ujian kendiri itu tersedia di pasaran.

Katanya, sebanyak 8,084 premis runcit diberi kelulusan untuk menjual RTK yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).

Menurut kenyataan itu lagi, lapan pengilang establishmen yang mendapat kebenaran bersyarat menghasilkan RTK di Malaysia, telah mengeluarkan sejumlah 4.306 juta unit RTK hingga bulan ini.

“Malaysia juga mengimport sejumlah 2.34 juta unit RTK dari tujuh negara. Jumlah keberadaan RTK tambahan dalam pasaran hingga penghujung Februari ialah sebanyak 6.647 juta unit.

“Berdasarkan statistik, aduan berhubung kekurangan bekalan RTK menunjukkan peratusan amat rendah, iaitu hanya tiga aduan diterima pihak kementerian sejak 1 Januari lalu hingga semalam,” katanya.

Malah, menurut kenyataan itu, kerajaan telah mengambil langkah proaktif bagi menjamin keberadaan dan bekalan RTK sentiasa mencukupi dalam pasaran.

Antara lain, katanya, RTK diwartakan sebagai barang kawalan bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November dan dikuatkuasakan 1 Disember tahun lalu.

Selain itu, kementerian juga sentiasa melaksanakan penguatkuasaan berhubung keberadaan bekalan RTK dengan melakukan pemantauan dan pemeriksaan berkala setiap hari, terutama pada peringkat pengimport, pengilang, pemborong dan peruncit, bagi memastikan bekalannya sentiasa stabil dalam pasaran serta mudah diperoleh pengguna.

Seterusnya, KPDNHEP menjelaskan, julat harga RTK dalam pasaran ketika ini ialah antara RM4.90 hingga RM19.90, dengan 80 peratus dijual bawah RM10 seunit.

Menurut kenyataan itu, KPDNHEP memberi amaran kepada peniaga supaya terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penjualan RTK bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

Katanya, peniaga yang dikesan melakukan kesalahan berhubung perkara itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan yang boleh dikenakan penalti oleh mahkamah hingga RM1 juta atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi syarikat pula boleh didenda hingga RM2 juta, jika sabit kesalahan.

“Pengguna pula dinasihatkan tidak panik dengan membuat pembelian berlebihan daripada keperluan, selain sentiasa berwaspada dengan RTK yang tidak mendapat kelulusan MDA.

“Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat salah laku peniaga berhubung bekalan dan harga RTK, boleh mengemukakan aduan berserta butiran lengkap melalui WhatsApp ke nombor 019-279 4317, portal aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan: 1-800-886-800, e-mel: [email protected], dan aplikasi: Ez ADU KPDNHEP,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts