fbpx

Leissner, Ng guna isteri sembunyi wang sogokan 1MDB

Leissner pleaded guilty in August 2018 to a count of conspiracy to violate US anti-bribery laws and to conspiring to launder money. (Photo by Bloomberg)

NEW YORK: Dua pegawai bank Goldman Sachs mencipta skim membabitkan isteri mereka untuk menyembunyikan wang sogokan diterima kerana membantu mencuri dana 1MDB.

Itu antara pengakuan bekas Pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, Tim Leissner dalam prosiding perbicaraan bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn di New York.

Leissner mengakui menerima sogokan itu daripada orang tengah warga Malaysia, Jho Low, kerana membantu menggelapkan dana yang dikumpul Goldman untuk 1MDB menerusi penjualan tiga bon.

Kenyataan Leissner dibuat selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah, manakala Ng mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkonspirasi untuk mengubah wang dan melanggar undang-undang antirasuah.

Pertuduhan itu adalah hasil daripada antara skandal kewangan terbesar dalam sejarah, yang mana pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) memaklumkan AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) daripada AS$6.5 bilion (RM27.3 bilion) dikumpul Goldman untuk 1MDB, dialihkan kepada pegawai bank kerajaan dan rakan mereka menerusi rasuah dan sogokan.

Leissner, 52, mengaku menerima AS$35 juta (RM147 juta) daripada Jho Low selepas jualan bon pertama pada 2012, dan memindahkan sebahagiannya kepada Ng.

Kedua-dua mereka kemudian mereka cerita bagi menjelaskan bayaran itu, supaya pihak bank yang memproses wang berkenaan tidak mengesyaki sesuatu, kata Leissner.

“Sebelum ini, keluarga isteri membuat pelaburan dalam perniagaan isteri saya, Judy, di China, dan ini adalah pulangan bagi pelaburan berkenaan,” kata Leissner kepada juru di Mahkamah Tinggi Brooklyn, merujuk pada bekas isterinya, Judy Chan.

Menurut Leissner, cerita itu tidak benar dan dia tidak mengetahui sama ada Ng, 49, menyampaikannya kepada pihak bank.

Peguam Ng, Marc Agnifilo, menafikan bayaran itu sebagai sogokan, dan menjelaskan dia dan isterinya memiliki perniagaan yang sah bersama-sama.

Agnifilo juga memaklumkan mahu menghubungi isteri Ng, Hwee Bin Lim untuk memberi keterangan bagi mempertahankan suaminya.

Beliau juga dijangka menyoal Leissner mengenai bayaran itu ketika pemeriksaan balas, yang akan berlangsung minggu depan kerana Jabatan Keadilan AS menangguhkan pendedahan kira-kira 15,500 dokumen berkaitan Leissner kepada pasukan peguam bela.

Agnifilo juga memberi bayangan dalam hujahan permulaannya untuk mencabar kredibiliti Leissner dengan membangkitkan isu kecurangannya.

Semalam, Leissner membuat pengakuan bahawa pada 2013, ketika berpisah daripada Chan, beliau memalsukan dokumen perceraian untuk membolehkannya berkahwin dengan Kimora Lee Simmons, iaitu model AS dan bekas isteri kepada penerbit muzik Russel Simmons.

Pada 2020, Goldman membayar denda berjumlah hampir AS$3 bilion (RM12.6 bilion) dan memastikan cawangannya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.

Pendakwa raya AS menuduh Jho Low di mahkamah pada 2018, namun pihak berkuasa AS atau Malaysia masih belum menahan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Malaysia sebelum ini mendakwa Jho Low berada di China, namun Beijing menafikan perkara itu. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts