fbpx

Terus laksana program penstabilan harga

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar program penstabilan dan penyeragaman harga dilaksanakan secara berterusan bagi mengelak rakyat terus terhimpit dengan kos sara hidup.

Seri Paduka juga menitahkan supaya kerajaan terus melaksanakan program pengedaran barangan dan penguatkuasaan bagi memastikan kos barangan keperluan harian tidak membebankan rakyat.

“Beta mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik. Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung.

“Selain itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat beta untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang berpatutan. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi untuk menjaga kebajikan rakyat, membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat beta,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Sementara itu, Seri Paduka menitahkan kerajaan agar menumpukan usaha membasmi miskin tegar menjelang 2025 melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan.

“Semua pihak hendaklah menggembleng tenaga dan memberikan komitmen yang tinggi agar taraf hidup golongan miskin tegar dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah agar usaha memulihkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta usahawan informal yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan bencana banjir sangat penting dan kritikal.

Baginda bertitah kumpulan khusus seperti penjaja dan peniaga kecil, wanita, belia, kumpulan B40 termasuk asnaf serta golongan yang hilang pekerjaan perlu terus dibantu melalui program bimbingan keusahawanan dan pembiayaan yang bersesuaian demi kelangsungan hidup.

“Pendigitalan operasi akan terus diperkukuhkan untuk membantu usahawan tempatan bangkit semula dan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi rakyat serta pembangunan ekonomi negara.

“Matlamat untuk membina bangsa usahawan dan menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul akan dapat dicapai melalui inisiatif di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews