fbpx

Kes sembuh harian COVID-19 kini melebihi jangkitan baharu

PUTRAJAYA: Sebanyak 30,624 kes sembuh daripada virus COVID-19 dilaporkan semalam, sekali gus melebihi jumlah kes baharu yang dilaporkan setakat tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu menjadikan sehingga kini jumlah individu yang sudah sembuh daripada wabak itu meningkat kepada 3,116,564 kes atau 90.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas mengenai kes baharu yang dilaporkan semalam, Dr Noor Hisham berkata, ia kembali berada di bawah 30,000 iaitu sebanyak 23,100 kes yang menjadikan sehingga kini terdapat seramai 3,442,736 individu sudah dijangkiti virus berkenaan di negara ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan itu, terdapat 22,802 kes membabitkan penularan tempatan dengan 298 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Kes baharu itu membabitkan 99.19 peratus atau 22,914 kes pesakit dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan dengan 0.81 peratus lagi bersamaan 186 kes adalah dalam kategori tiga hingga lima.

“Secara pecahannya, daripada jumlah peratusan itu, kategori dua paling tinggi dikesan semalam dengan 63.24 peratus (14,610 kes), ia diikuti kategori satu (8,304 kes), kategori tiga (96 kes), kategori lima (51 kes) dan kategori empat (39 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memperincikan mengenai kes dalam kategori tiga hingga lima itu, Dr Noor Hisham berkata, angka paling tinggi membabitkan individu yang sudah menerima dua dos namun masih belum mendapatkan dos penggalak serta individu berusia 60 tahun keatas,iaitu masing-masing sebanyak 84 kes atau 45.16 peratus.

“Selain itu, sebanyak 82 kes (44.09 peratus) membabitkan individu mempunyai komorbid, sudah menerima dos penggalak (63 kes), tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi (39 kes) serta ibu mengandung (dua kes).

“Secara keseluruhannya, setakat ini terdapat 361 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), membabitkan 133 kes disahkan COVID-19 serta 228 lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

“Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini terdapat sejumlah 193 kes iaitu 76 kes disahkan COVID-19 serta 117 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan pihaknya mengesan tiga lagi kluster baharu di negara ini, ia menjadikan sehingga kini terdapat 480 kluster yang masih aktif.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts