fbpx

Dos penggalak: Tarikh akhir 31 Mac muktamad – Khairy

A man receives the AstraZeneca Covid-19 vaccine at the World Trade Centre Kuala Lumpur May 5, 2021. ― Picture by Ahmad Zamzahuri

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan melanjutkan lagi tempoh pemberian dos penggalak yang ditetapkan sehingga 31 Mac ini kepada penerima vaksin Sinovac.

Menteri, Khairy Jamaluddin, berkata jika mereka masih enggan mendapatkan vaksin itu selepas tarikh berkenaan, status vaksinasi mereka bertukar kepada tidak lengkap.

“Tempoh yang kita beri bukan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN), tapi bagi masa kepada mereka untuk melengkapkan dalam tempoh lanjutan (yang diberi). Ini yang terakhir dan muktamad.

“Jika (pada tarikh) akhir ini mereka tidak dapat dos penggalak, maka status mereka adalah tidak lengkap,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

KKM sebelum ini menetapkan tempoh akhirnya adalah sehingga 28 Februari lalu, namun dilanjutkan sehingga 31 Mac ini.

Khairy berkata, inisiatif KKM memberi pilihan kepada orang ramai memperoleh vaksin pilihan mereka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) meningkatkan keyakinan untuk mendapatkan dos penggalak.

“Kita buat keputusan untuk memastikan pertama, kita sudah memperluas pemberian ‘booster’ kepada semua melalui ‘walk-in’ di PPV. Kedua, memberi pilihan ‘booster’ kepada mereka yang belum mendapatkan dosnya, sebab ada keengganan dalam kalangan penerima vaksin untuk menerima dos campuran daripada dos primer mereka.

“Di beberapa PPV, kita bagi pilihan dan ini membantu menaikkan liputan vaksinasi yang sebelum ini mereka tidak mahu,” katanya.

Menjawab soalan asal Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu), Khairy berkata, KKM sudah mengaktifkan semula National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF 2.0) bermula 7 Februari lalu dalam menghadapi cabaran gelombang Omicron.

“Ini bagi memastikan akses ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital terjamin serta melakukan pemantauan kes positif COVID-19 melalui Pusat Penilaian COVID-19 secara maya (VCAC).

“(Selain pemberian dos penggalak, KKM juga) membangunkan COVID-19 Clinical Care Pathway bagi tujuan memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit COVID-19 berisiko tinggi pada peringkat lebih awal semasa mereka bergejala ringan bagi mencegah jangkitan

menjadi lebih teruk,” katanya.

Dalam pada itu katanya, berbanding varian Delta, Omicron lebih suka menjangkiti dan membiak pada bahagian atas saluran pernafasan dan sifat ini memberikan nilai tambah kepada keupayaannya untuk menjangkiti secara mudah serta pantas.

“Di samping itu juga, varian Omicron didapati kurang berkapasiti untuk menjangkiti tisu paru-paru. Ini mungkin menjelaskan mengapa individu yang dijangkiti oleh varian berkenaan mempunyai jangkitan yang lebih ringan berbanding dengan varian Delta,” katanya.

Katanya, biarpun terdapat trend peningkatan dalam kemasukan ke hospital ketika gelombang Omicron, kadar discaj dari hospital juga naik mendadak memandangkan kadar sembuh yang tinggi dan tempoh rawatan di hospital yang tidak berpanjangan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts