fbpx

Malaysia buat keputusan tepat tidak layan tuntutan waris Sultan Sulu

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak mendakwa waris kepada Sultan Jamalul Kiram II disifatkan tepat kerana pihak penuntut itu tidak diiktiraf sebagai sebuah kerajaan yang sah.

Pakar Geostrategis Dr Azmi Hassan berkata, Malaysia kini perlu menunggu keputusan lanjut Mahkamah Timbang Tara di Sepanyol selepas tidak mengiktiraf tuntutan itu.

Beliau berkata, apa yang dituntut waris Sultan Jamalul Kiram II juga dilihat tidak terkandung dalam Perjanjian 1878 yang dibuat kerana ketika itu Tanah Melayu dan Sabah juga masih belum dibentuk.

“Keputusan Malaysia tidak iktiraf adalah tepat kerana pihak yang menuntut juga bukan kerajaan diiktiraf kerajaan kita.

“Namun Malaysia terikat dengan Konvensyen New York mengenai timbang tara dan kerajaan perlu tunggu keputusan lanjut oleh mahkamah timbang tara selepas tidak mengiktiraf tuntutan itu,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, tuntutan yang dibuat dilihat hanya mahu mendapatkan kembali wang sagu hati RM5,300 setiap tahun yang bayarannya sudah dihentikan sejak 2013 susulan pencerobohan di Lahad Datu selain mahu mendapatkan hasil bumi Sabah.

Katanya, Malaysia juga tidak perlu berunding dengan kerajaan Filipina berhubung tuntutan itu dan hanya perlu menunggu respon seterusnya daripada mahkamah timbang tara.

Sebelum ini, sebuah portal berita Sepanyol melaporkan kerajaan Malaysia diarah membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Ia susulan dakwaan pelanggaran Perjanjian 1878 ditandatangani antara Sultan Sulu ketika itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent, di mana Sultan Sulu menyerahkan buat selama-lamanya wilayahnya di Borneo Utara, yang kini sebahagian Sabah.

Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan bersama memaklumkan, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak mendakwa waris kepada Sultan Jamalul Kiram II, melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Malah, kerajaan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara dikatakan itu kerana Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews