fbpx

CSSA mahu harga siling kit ujian kendiri diturunkan 50 peratus lagi

Foto: BERNAMA

PUTRAJAYA: Kerajaan diminta menurunkan lagi harga siling untuk kit ujian kendiri sehingga 50 peratus daripada harga dijual ketika ini bagi membolehkan penduduk di negara ini mendapat lebih manfaat.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, berkata ia berikutan ketika ini bilangan kes semakin meningkat yang memerlukan ramai pihak membuat ujian kendiri di rumah bagi mengelak berlaku jangkitan terhadap keluarga dan orang sekeliling.

Selain itu, beliau berkata, dengan membuat ujian kendiri itu, orang ramai boleh mengetahui status kesihatan diri sebelum keluar dan bertemu ahli keluarga serta sahabat handai.

Katanya, isu harga kit ujian sering dirayu kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, kerana pengeluar dan pengimport tidak boleh mengatakan harga alat itu tidak boleh diturunkan lagi bagi memberi kemudahan kepada orang awam.

“Jika ia dibeli banyak, sudah tentu pengeluar dan penjual boleh mendapatkan keuntungan.

“Ia juga satu tanggung jawab sosial korporat (CSR) yang boleh dimanfaatkan Kerajaan Persekutuan kerana pengesanan jangkitan awal boleh mengurangkan penyebaran dan jumlah kes serta kemasukan ke hospital,” katanya kepada BH, hari ini.

Ketika ini harga siling bagi kit ujian adalah RM19.90 bagi harga runcit dan bagi harga borong adalah RM16.90. seunit.

Bagaimanapun, ada peniaga menjualnya serendah RM4.90 di pasaran.

Jacob berkata, bagi memastikan pengeluar, pengimport dan peniaga terkesan daripada pengurangan harga siling itu, beliau menyarankan kerajaan memberikan subsidi kepada pihak terbabit.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat menjamin mutu dan kualiti alat berkenaan biarpun ia dijual pada harga lebih rendah.

“Saya lihat ramai yang sudah membeli dan menyimpan kit ujian kendiri dengan banyak termasuk membawanya ke mana-mana,” katanya.

Pada masa sama, Jacob juga berharap Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengeluarkan video menunjukkan cara menggunakan kit ujian kendiri yang betul bagi mengelak daripada mendapat hasil ujian tidak tepat.

Beliau berkata, ahli farmasi juga diminta memberikan penerangan khusus kepada pembeli bagi mengelak mereka tersalah langkah ketika membuat ujian.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts